Bercakap tentang Marketing (dalam Bahasa Melayu disebut pemasaran)

Pengalaman dalam kerjaya, pendidikan malah aktiviti seharian seperti memandu kereta dan membaca kesemuanya menyumbang kepada catatan-catatan di dalam blog ini. Pengalaman seharian penulis dicatat di dalam blog ini segalanya berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau marketing dalam Bahasa Inggeris. Segala yang sempat dicerap oleh pancaindera penulis akan menghasilkan catatan yang lebih terarah kepada Marketing Communication yang melibatkan segala aktiviti seperti pengiklanan, penjenamaan, rekabentuk grafik, pemasaran, pembungkusan, promosi, publisiti, penajaan, perhubungan awam, jualan, promosi jualan dan promosi online.

Dalam bahasa yang mudah (terdapat juga percampuran bahasa) apa sahaja yang terbabit dalam unsur-unsur di atas akan mengundang penulis untuk memberi ulasan, memuji, mengomen atau mengkritik sebagai perkongsian idea yang diharapkan boleh dimanfaat bersama. Sebagai contoh unsur-unsur yang terlibat adalah seperti banner yang digantung pada pagar Masjid Kg. Baru, promo pil maajun di radio Sinar, hebahan di belon yang merentasi udara Bukit Damansara, pelekat kartun di gas pump nozzle stesen minyak Petronas, hebahan funfair konsert rock XPDC dari van bergerak, pengedaran flyers zakat selepas solat Jumaat, billboard 1Malaysia di Pandan Indah, serang balas iklan Streamyx terhadap P1Wimax, ajakan merasa makanan di Maira Cafe, promoter menggantung bunting di leher dekat hadapan Gulatis Jalan TAR dan sebagainya.

Penulis percaya setiap hasil karya kreatif seperti skrip, copywriting, design, layout, susun letak dan sebagainya yang terpapar di blog ini mempunyai idea dan justifikasi tersendiri yang cuba disampaikan oleh pemiliknya. Di samping ulasan dan kritikan dari penulis, penulis mengalu-alukan input yang sama dari pembaca budiman mahupun dari MarCom Manager (Pengurus Komunikasi Pemasaran / pemilik iklan) sendiri. Semoga input yang diberikan mampu menjana idea baru untuk faedah kita bersama.

Penulis berusaha sedaya upaya memastikan setiap entry yang dihantar mengandungi maklumat yang tepat daripada segi subjek yang dibincangkan.

Saturday, July 17, 2010

Lima patah perkataan pun sudah mencukupi

Lokasi billboard di Jalan Tun Razak menghala ke Lebuhraya Mahameru ini benar-benar `premium' statusnya. Di samping jalannya yang sering sesak, kedudukan billboard dipasang amat strategik kerana ia bebas gangguan dari pelbagai unsur lain seterusnya membolehkan para pengguna jalan ini menikmati mesej yang dipaparkan oleh pengiklan.

Mesej lebih cepat diterima jika ia ringkas dan padat. Iklan zakat ini hanya menggunakan lima patah perkataan, satu kadar yang munasabah untuk memberi peluang pengguna jalan raya ini menghadam sepenuhnya mesej yang ingin disampaikan. Ruang di billboard ini juga benar-benar memberi laluan kepada `lima patah perkataan' ini merajai segenap pelusuknya. Jika terdapat lebih banyak perkataan dan imej di situ sudah semestinya mengurangkan indeks kebolehbacaannya.

No comments: