Bercakap tentang Marketing (dalam Bahasa Melayu disebut pemasaran)

Pengalaman dalam kerjaya, pendidikan malah aktiviti seharian seperti memandu kereta dan membaca kesemuanya menyumbang kepada catatan-catatan di dalam blog ini. Pengalaman seharian penulis dicatat di dalam blog ini segalanya berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau marketing dalam Bahasa Inggeris. Segala yang sempat dicerap oleh pancaindera penulis akan menghasilkan catatan yang lebih terarah kepada Marketing Communication yang melibatkan segala aktiviti seperti pengiklanan, penjenamaan, rekabentuk grafik, pemasaran, pembungkusan, promosi, publisiti, penajaan, perhubungan awam, jualan, promosi jualan dan promosi online.

Dalam bahasa yang mudah (terdapat juga percampuran bahasa) apa sahaja yang terbabit dalam unsur-unsur di atas akan mengundang penulis untuk memberi ulasan, memuji, mengomen atau mengkritik sebagai perkongsian idea yang diharapkan boleh dimanfaat bersama. Sebagai contoh unsur-unsur yang terlibat adalah seperti banner yang digantung pada pagar Masjid Kg. Baru, promo pil maajun di radio Sinar, hebahan di belon yang merentasi udara Bukit Damansara, pelekat kartun di gas pump nozzle stesen minyak Petronas, hebahan funfair konsert rock XPDC dari van bergerak, pengedaran flyers zakat selepas solat Jumaat, billboard 1Malaysia di Pandan Indah, serang balas iklan Streamyx terhadap P1Wimax, ajakan merasa makanan di Maira Cafe, promoter menggantung bunting di leher dekat hadapan Gulatis Jalan TAR dan sebagainya.

Penulis percaya setiap hasil karya kreatif seperti skrip, copywriting, design, layout, susun letak dan sebagainya yang terpapar di blog ini mempunyai idea dan justifikasi tersendiri yang cuba disampaikan oleh pemiliknya. Di samping ulasan dan kritikan dari penulis, penulis mengalu-alukan input yang sama dari pembaca budiman mahupun dari MarCom Manager (Pengurus Komunikasi Pemasaran / pemilik iklan) sendiri. Semoga input yang diberikan mampu menjana idea baru untuk faedah kita bersama.

Penulis berusaha sedaya upaya memastikan setiap entry yang dihantar mengandungi maklumat yang tepat daripada segi subjek yang dibincangkan.

Saturday, November 5, 2011

Pemasaran ibadah


Kerja-kerja mengajak dan menyeru orang melaksanakan ibadah adalah satu amalan mulia. Ia menjadi satu kewajipan jika ibadah yang diseru adalah wajib seperti menunaikan solat atau melaksanakan zakat.

Kerja-kerja ini dipanggil dakwah. Bahasa komersilnya disebut pemasaran atau marketing. Kaedah pemasaran ibadah ini telah mengalami perubahan mengikut peredaran zaman.

Syabas kepada Lembaga Zakat Selangor kerana mengorak langkah dalam memperkemaskan gerak kerja pemasaran zakat mereka. Mereka telah membuka tender untuk cadangan menyediakan perkhidmatan mengurus, menyedia, memantau dan melaksanakan konsep pengiklanan dan kerja-kerja pengiklanan kreatif dalam media cetak dan elektronik bagi pihak mereka. Semoga ia menjadi contoh kepada pusat-pusat zakat lain untuk bersama memperkemaskan operasi pemasaran zakat masing-masing.

Thursday, August 25, 2011

Mampukan atau Mampukah?

Sudah beberapa kali iklan dari bank ternama antarabangsa Standard Chartered ini dipapar di dada-dada akhbar. Saya cuba memikirkan apa justifikasi pemilihan perkataan `Mampukan' di hadapan ayat ini. Mungkin pasukan komunikasi korporatnya ada penjelasan tersendiri.



Saturday, June 18, 2011

China sudah mengaum

Di kota London banyak billboard mengenai kehebatan negara China dipasang di merata tempat. Salah satu yang saya temui adalah seperti gambar ini yang tertera China Is A Friend To The West. Laungan ini sudah tentunya menggambarkan aktiviti mempromosi negara China bukan calang-calang kerana ia dipasang di kotaraya London yang pesat. Iklan ini saya temui stesen underground Edgware Road. Namun saya tidak sempat mengambil gambar sebuah lagi iklan di sebelahnya yang tertera China Is A Threat To The West..

Sunday, April 10, 2011

KTMB responsif untuk penambahbaikan






Saya percaya Keretapi Tanah Melayu Berhad telah membuat satu keputusan baik dalam menyampaikan mesej kepada para pengguna komuter tentang pengkhususan koc untuk para pengguna wanita. Salah satu perubahan yang dilakukan adalah menukar font dan style tulisan pada kenyataan di koc terbabit. Ia dilihat jelas dan mudah untuk pembacaan berbanding font terdahulu.

Saya pernah menulis di akhbar pada bulan Mei tahun lepas mengenai perkara ini. Sekalung tahniah kepada pihak pengurusan KTMB, bahagian komunikasi korporat khususnya kerana peka dan mengambil tindakan proaktif dalam menambahbaik elemen komunikasi pemasarannya.

Berbalik kepada perkara ini, saya percaya KTMB mempunyai pasukan komunikasi krisis tersendiri yang kadangkala boleh dianggap antara elemen terpenting dalam skop tugasan perhubungan awam. Pasukan ini direkabentuk khas untuk mempertahan dan melindungi individu, syarikat mahupun organisasi daripada ancaman awam yang boleh menjejaskan reputasi.

Thursday, March 31, 2011

Iklan mencerminkan tahap keseriusan perniagaan anda

Syarikat Serambi Emas ini cuba menzahirkan kepada pelanggan berpotensi bahawa perniagaan mereka ini satu usaha yang komited dan tidak boleh dipandang enteng. Buktinya dengan mengiklan di muka surat utama akhbar harian arus perdana ini mencerminkan tahap keseriusan mereka untuk meraih kepercayaan para bakal pelanggan. Namun kesilapan ejaan yang begitu ketara boleh membuatkan para bakal pelanggan berfikir semula tahap kepentingan pengiklanan dari pandangan syarikat ini.