Bercakap tentang Marketing (dalam Bahasa Melayu disebut pemasaran)

Pengalaman dalam kerjaya, pendidikan malah aktiviti seharian seperti memandu kereta dan membaca kesemuanya menyumbang kepada catatan-catatan di dalam blog ini. Pengalaman seharian penulis dicatat di dalam blog ini segalanya berkaitan dengan aktiviti pemasaran atau marketing dalam Bahasa Inggeris. Segala yang sempat dicerap oleh pancaindera penulis akan menghasilkan catatan yang lebih terarah kepada Marketing Communication yang melibatkan segala aktiviti seperti pengiklanan, penjenamaan, rekabentuk grafik, pemasaran, pembungkusan, promosi, publisiti, penajaan, perhubungan awam, jualan, promosi jualan dan promosi online.

Dalam bahasa yang mudah (terdapat juga percampuran bahasa) apa sahaja yang terbabit dalam unsur-unsur di atas akan mengundang penulis untuk memberi ulasan, memuji, mengomen atau mengkritik sebagai perkongsian idea yang diharapkan boleh dimanfaat bersama. Sebagai contoh unsur-unsur yang terlibat adalah seperti banner yang digantung pada pagar Masjid Kg. Baru, promo pil maajun di radio Sinar, hebahan di belon yang merentasi udara Bukit Damansara, pelekat kartun di gas pump nozzle stesen minyak Petronas, hebahan funfair konsert rock XPDC dari van bergerak, pengedaran flyers zakat selepas solat Jumaat, billboard 1Malaysia di Pandan Indah, serang balas iklan Streamyx terhadap P1Wimax, ajakan merasa makanan di Maira Cafe, promoter menggantung bunting di leher dekat hadapan Gulatis Jalan TAR dan sebagainya.

Penulis percaya setiap hasil karya kreatif seperti skrip, copywriting, design, layout, susun letak dan sebagainya yang terpapar di blog ini mempunyai idea dan justifikasi tersendiri yang cuba disampaikan oleh pemiliknya. Di samping ulasan dan kritikan dari penulis, penulis mengalu-alukan input yang sama dari pembaca budiman mahupun dari MarCom Manager (Pengurus Komunikasi Pemasaran / pemilik iklan) sendiri. Semoga input yang diberikan mampu menjana idea baru untuk faedah kita bersama.

Penulis berusaha sedaya upaya memastikan setiap entry yang dihantar mengandungi maklumat yang tepat daripada segi subjek yang dibincangkan.

Friday, May 28, 2010

Pengurusan krisis oleh Sani Express

Masih ingatkah kita tentang tragedi yang menimpa syarikat bas Sani Express (SE) pada penghujung tahun 2009 lalu? Tragedi kemalangan salah satu basnya yang meragut 10 nyawa telah diberi liputan meluas oleh media seterusnya meruntun respon demi respon dari orang ramai, para pengusaha bas dan pelbagai agensi kerajaan.

Paparan kali ini bukan untuk bercerita lanjut mengenai kemalangan tersebut, tetapi melihat kepada tindakan pengurusan syarikat Sani Express dari aspek pemasaran setelah tragedi itu berlaku.

Saya melihat kesungguhan SE membina semula imejnya yang kemungkinan telah tercalar dengan menggunakan sepenuhnya peranan media sebagai alat komunikasi pemasarannya untuk control damage pada identitinya. Walaupun hampir setengah tahun tragedi itu berlaku, SE dilihat sungguh aggresif dalam membina reputasinya kerana iklan-iklan SE masih disiarkan dalam akhbar mahupun siaran televisyen waktu perdana.

Jikalau tuan puan melihat iklan-iklannya, SE berjaya menampilkan sesuatu untuk menambat keyakinan para pengguna bas ekspress seperti penggunaan bas baru berteknologi terkini, penekanan aspek keselamatan yang canggih, pengurusan sumber manusia dan sebagainya. Tindakan SE menawarkan hadiah dalam peraduan kepada para penggunanya juga dilihat sebagai salah satu strategi untuk memenangi hati penumpangnya.

SE juga telah menyediakan pampasan kepada keluarga mangsa kemalangan tersebut. Para pengamal komunikasi korporat dan perhubungan awam menyatakan penyediaan pampasan dan melahirkan rasa simpati merupakan dua strategi yang tidak memerlukan kos yang tinggi. Namun keberkesanannya setaraf dengan ungkapan permohonan maaf demi membentuk persepsi orang ramai yang menyatakan bahawa syarikat bersedia bertanggungjawab di atas krisis yang berlaku. Ini kerana kedua-dua strategi ini memfokuskan kepada keperluan mangsa dan keluarga mereka. Simpati melahirkan rasa keprihatinan manakala pampasan pula mengurangkan bebanan.

Saya merasakan SE telah berjaya mengurus krisis yang melanda syarikatnya dengan menggunakan peranan media seoptima mungkin. Amalan ini diharap dapat dicontohi syarikat korporat lain dalam melaksanakannya kerana crisis management memerlukan seni yang tersendiri, garapan semua ahli syarikat dari peringkat pengurusan sehinggalah kepada pekerja bawahan. Kalau tidak masakan SE mampu berani mengeluarkan slogan, Bas Berteknologi Tinggi Yang Terbaik Di Dunia, Pengurusan Penyelenggaraan Bas Yang Terbukti Terbaik Di Asia dan Syarikat Pengurusan Bas Yang Terbaik Di Malaysia.

Sunday, May 9, 2010

Amaran jelas untuk penagih dadah

Strategi serampang dua mata, kata bidalan Melayu atau killing two birds with one stone kata orang Inggeris membawa maksud yang sama. Membaca amaran di pintu masuk pusat bowling di Alamanda Putrajaya ini membuatkan saya terfikir dua golongan ini jangan sesekali melangkah masuk premis ini
1- Mereka yang berhasrat menjadikan premis ini sebagai`port' untuk menagih heroin, ketamin, marijuana, ganja dan segala macam jenisnya
2- Mereka yang berhasrat menggondol segala kejuaran di sini dengan mengambil segala macam dadah terlarang kerana mengetahui tiada ujian saringan air kencing dilaksanakan

Tiada dulu tiadalah sekarang

Kadang-kadang nilai sentimental pada nama membuatkan premisnya terus berdiri tidak ditelan zaman. Bayangkan 20 tahun dahulu, kenderaan-kenderaan dalam gambar ini masih belum wujud, tetapi Asoka Palaikat sudah berdiri di situ.